Perkongsian Di Bulan Ramadhan.
Adakah kita benar benar telah beriman kepada Allah?
Pernah tak kita tanya pada diri kita sendiri persoalan itu?
Pernah tak kita tanya pada diri kita sendiri persoalan itu?
Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna.
Maka terbentuklah iman itu diatas 6 asas atau 6 tunjang yang dinamakan dia dengan rukun iman. Yang pertama, percayakan Allah. Maknanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh Allah Ta’ala itu Tuhan yang bersifat ia dengan segala sifat-sifat ketuhanan. Maka jika seseorang itu tidak mengaku putus dengan sungguh begitu atau ia mengetahui jua dengan tidak mengaku maka adalah ia tidak beriman dengan Allah Ta’ala dan adalah ia orang yang kafir di sisi Allah Ta’ala dan jikalau sembahyang, puasa sekalipun.
Yang kedua percayakan akan malaikat. Maknanya mengaku putus didalam hati seseorang akan bahawasa malaikat itu tentu sungguh ada dan ia setengah daripada makhluk Allah Ta’ala.
Yang ketiganya percaya akan segala kitab dengan maknanya. Mengaku putus seorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala kitab yang datang daripada Allah Ta’ala seperti Qur’an dan Taurat dan lain-lainnya dan sungguh segala perkara-perkara yang disebut didalamnya.
Yang keempatnya percaya akan segala Rasul-rasul Allah, dengan maknanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala Rasul Allah Ta’ala itu, dan mengaku sungguh akan segala perkara yang mereka itu menyampaikan kepada umatnya.
Yang kelimanya percaya akan hari qiamat dengan maknanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada hari qiamat itu bila-bila masa jua akan datang berlakunya.
Yang keenamnya percaya dengan qada' dan qadar, dengan maknanya qoda’ itu penentuan yang telah menentu akan dia Allah Ta’ala dengan iradat. Dan makna qadar itu takdir Allah Ta’ala. Maksudnya perbuatan yang telah perbuat akan dia oleh Allah Ta’ala dengan qudratNya. Maka percaya dengan qoda’ dan qadar itu maknanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh akan bahawa segala perkara yang berlaku daripada baik dan jahat semuanya dengan kehendak Allah Ta’ala dan menjadi ia akan dia. Inilah enam perkara yang dinamakan dia rukun iman. Maka barangsiapa tidak percaya dengan maknanya tidak mengaku sungguh segala perkara itu, maka adalah ia kafir tidak dinamakan dia orang yang beriman.
Firman All s.w.t;
"Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. " (30, Al-Kahf)
"Bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula
berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi
Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (112, Al-Baqarah)
"Untuk orang-orang yang
berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu
tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak
diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli
Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." (26, Yunus)
Sumber.
**********************************
Apa yang Izan nak kongsikan disini ialah tentang rukun Iman ke-3 iaitu percaya akan segala kitab dengan maknanya.
Tapi sayangnya ramai jugak diantaranya yang tak tahu maksud ayat ayat Al-Quran yang dibaca. Bukan kah kita disuruh membaca kitab Allah dengan maksudnya.
Izan dulu pun macam tu juga, mungkin sebab itu yang diajar sewaktu kanak kanak dulu. Tak pula didedahkan untuk membaca maksudnya. Sekarang setiap kali Izan baca satu ayat Izan akan baca maksudnya. Cara tu membuat Izan rasa lebih dekat dengan Allah. Apa pun yang kita lakukan adalah dengan keizinan Allah. Dulu diri ini memang dah jauh tersesat. Mujur ada yang sudi membantu supaya Izan kembali mengikut jalan Allah.
Ok lah selain Al-Quran ada tak terfikir nak baca kitab kitab Allah yang lain. Kalau tanya Izan, yer Izan teringin nak baca kitab Injil. Kenapa? Sebab Izan nak baca sendiri persamaan ayat ayat dalam Al-Quran & Injil yang pernah diberitahu pada Izan suatu masa dulu.
Izan rasa tak salah kan kalau kita nak baca kitab kitab Allah selain Al-Quran, kan...???
**********************************
*"Kitab Taurat"*
Kitab Taurat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Ibrani. Dalam Kitab Taurat ini terkandung hukum syarak dan keyakinan yang betul. Ia juga menerangkan bahawa seorang nabi akhir zaman (Muhammad s.a.w.) akan lahir dari keturunan Nabi Ismail a.s. Kitab Taurat yang asli tidak ditemui lagi pada masa sekarang kerana isinya telah ditokok tambah oleh orang-orang yahudi.
*"Kitab Zabur"*
Kitab Zabur telah diturunkan oleh Allah s.e.t. kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa Qibthi. Kitab Zabur tidak mengandungi hukum perundangan. Kandungannya hanya mengenai perkhabaran, cerita, zikir, doa serta hikmah-hikmah. Oleh sebab itu Nabi Daud tidak mempunyai syariat tersendiri, ia dan umatnya hanya mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Musa.
*"Kitab Injil"*
Kitab Injil diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Diantara kandungannya yang utama ialah menyeru umat manusia agar mengEsakan Allah s.w.t. Kitab Injil juga memberitakan akan kelahiran seorang nabi dan rasul diakhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Yahudi telah mengingkari akan kebenaran Allah s.w.t. Mereka telah menghimpunkan kitab-kitab ini menjadi satu yang diberi nama "bible" kemudian mereka ubah isi kandungannya mengikut kehendak hati mereka agar berkesesuaian dengan kehidupan mereka seharian. Bible ini terbahagia kepada dua bahagian besar. Pertama bahagian Taurat yang dinamakan dengan Perjanjian Lama (Old Testament). Kedua bahagia Injil yang dinamakan dengan Perjanjian baru (New Testament).
*"Kitab Suci Al Quran"*
Kitab suci Al Quran adalah sebuah kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di dalam Al Quran mengandungi hukum-hukum serta peraturan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada untuk mencapai kemakmuran hidup di dunia mahupun untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Ajaran yang disampaikan di dalam Al Quran sesuai untuk seluruh umat manusia dipermukaan bumi ini tidak kira bangsa dan keturunannya. Ajaran yang termuat di dalam Al Quran lengkap dan sempurna, ia tidak akan berubah dan kekal selama-lamanya bahkan ia tetap dipelihara oleh Allah s.w.t.
Sumber.
**********************************
Sekian, ini dulu yang Izan nak kongsikan.Di bulan ramadhan ni kita disuruh banyak membaca Al-Quran, tapi jangan hanya baca ayatnya sahaja, baca lah sekali maksudnya supaya kita benar benar faham akan ajaran Islam.
Salam
-izzan-
Comments
Post a Comment