"ROH : RAHSIA ILAHI"
Roh adalah fomula yang dicipta oleh Allah & hanya Allah yang tahu rahsia disebalik ciptaan Nya itu. Manusia hanya tahu sedikit tentang roh.
Allah bukan roh. Jika Allah adalah roh maka Allah itu berbilang agama, bangsa & kepercayaan. Sedangkan Allah itu adalah zat yang maha agung.
Dalil tentang Roh
Hadis riwayat dari Imam Bukhari dan Muslim, dari Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: " Aku berjalan bersama-sama rasulullah s.a.w di Kota Madinah. Rasulullah bertongkat dengan pelepah tamar dan melewati sekumpulan orang-orang Yahudi. Mereka (Yahudi) saling berkata: "Tanya Muhammad tentang roh"? Sebahagian yang lain pula mengatakan: "Jangan bertanya kepadanya"Namun kemudianya mereka bertanya: " Hai Muhammad apakah roh itu?. Rasulullah tetap( berdiri ) bertongkat dengan pelepah kurma itu dan aku menyangka bahawa baginda sedang menerima wahyu. Setelah itu Rasulullah bersabda kepada mereka(Surah al-Israk :ayat 85): " Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit".
Selain al-Quran terdapat dalam kitab Taurat pengetahuan tentang hakikat roh. Namun apa yang terkandung dalam Taurat juga tidak dapat memberi penjelasan dan merungkai tentang hakikat roh kerana ia adalah rahsia dari rahsia-rahsia Allah S.w.t dan makhluk tidak layak mengetahui kerana ia suatu yang sukar difahami oleh kemampuan manusia.
Definasi Roh
Manusia yang diberi ilmu yang sedikit tidak mampu untuk menyingkap maksud roh itu sendiri. Namun tidak pula menghalang para ulamak untuk membuat definasi, hanya sebagai mendekatkan kepada pengertian dan pemahaman tentang roh itu sendiri. Pengertian tersebut hanya keterangan mengenai tanda-tandanya sahaja sementara jasad tersebut hidup bilamana roh masih berada di dalamnya.
Ada terdapat beberapa pendapat tentang roh diantaranya:
a. Sebahagian Ulama berpendapat bahawa yang dikatakan roh itu ialah zat yang halus dan dapat menembusi benda yang lain serta merayap di sekujur tubuh bagaikan air mawar pada bunga mawar atau api dalam arang. Allah s.w.t telah menetapkan hokum untuk mewujudkan kehidupan di dalam jasad selama dia ada dan apabila hilang atau berpisah daripadanya akan hilanglah pula kehidupan itu.
b. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa roh manusia terdiri dari 3 unsur:
Pertama: Roh merupakan wap yang halus menjadi sempurna dan baik dengan sempurna dan baiknya tabiat manusia dan dialah yang memberi tenaga pada pancaindera dan gerakgeri manusia. Ia akan punah bersama mati.
Kedua: Roh merupakan latifah Rabbaniyah ( Suatu yang halus yang datang dari Tuhan) sesuatu yang dihubungkan dengan Tuhan.
Ketiga : Roh merupakan unsur yang tidak terbahagi dan tidak mengelompok. Dialah pembawa amanah dan taklif iaitu hati yang tetap ada sesudah matinya jasad. Ini adalah pendapat ahli Tasawuf.
Penciptaan Roh
Roh adalah sesuatu yang bersifat dengan sifat makhluk iaitu ada awal dan akhir. Persoalan disini ialah, antara roh dan jasad manakah dahulu yang diciptakan Allah?. Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat:
1. Imam Muhammad al-Marwazi dan Ibnu Hazm berpendapat Roh dicipta dahulu daripada jasad.
Firman Allah dalam al-Quran: "Dan ( ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada belakang (tulang salbi) mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firmannya): "Bukankah Aku Tuhan Kamu? Mereka semua menjawab: "Benar( Engkau Tuhan Kami ) kami menjadi saksi". Yang demikian agar kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, "Sesungguhnya kami adalah orang yang lalai ( tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini" ( Surah Al-A'raf :172).
2. Ibnu Qayim berpendapat Roh dijadikan sesudah jasad.
Sabda Nabi s.a.w: "Sesungguhnya dikumpulkan penciptaan setiap kamu dalam rahim ibu selama empat puluh hari dalam bentuk nutfah( sperma), kemudian menjadi alaqah (segumpal daging) selama itu juga, kemudian menjadi mudghah( segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya. Lalu diperintahkan untuk menulis empat perkara; rezkinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sengsara atau bahagianya. Maka demi Allah tiada Tuahan selainNya, ada sesaorang diantara kamu yang mengerjakan amalan ahli Syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli Neraka hingga ia masuk ke dalamnya. Ada sesaorang diantara kamu mengerjakan amalan ahli Neraka, sehingga tidak lagi jarak antara dirinya dan Neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah lalu dia melakukan perbuatan ahli Syurga, dia pun masuk ke dalamnya". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
3. Roh wujud bersama dengan kejadian janin.
Sejak pertemuan pertama anatara benih lelaki dengan telur wanita di dalam rahim telah terdapat roh kehidupan. Logiknya apabila roh itu tidak ada tentu ia tidak boleh berkembang dan membesar kemudian menjadi manusia sempurna. Menurut kajian sains setiap kali sperma dipancarkan ia mengandungi 300 juta benih dan panjang setiap benih ialah 25/1000 mm. Sperma itu juga adalah hidup dan berenang dengan kecepatan 0.5 milimeter sesaat. Ertinya malaikat meniupkan roh padanya adalah menggerakkannya dan dan membebaskannya untuk berfungsi secara sempurna. Sebab itulah janin mula bergerak.
ROH DAN JIWA
Roh adalah sesuatu yang halus, tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia. Hadis nabi menyebut bahawa malaikat meniupkan roh kepada janin yang berada dalam kandungan ibu selepas usianya mencecah 120 hari iaitu 4 bulan, memberi maksud dan pengertian bahawa roh itu benda yang halus seperti cahaya atau angin. Roh ditiup oleh malaikat Izrail melalui ubun-ubun manusia dan akan dikeluarkan juga dari tempat yang sama.
Namun dalam sebuah hadis yang panjang, nabi menceritakan tentang keadaan sesaorang sewaktu tiba saat kematian iaitu berpisahnya roh dari jasad. Malaikat maut (Izrail) akan turun bersama malaikat-malaikat yang lain sejauh mata memandang dengan membawa kafan ( kain ) dari syurga dan didalamnya ada khanut ( wangian) jika orang yang hendak mati itu mukmin tetapi sebaliknya jika orang yang hendak mati itu fajir atau kafir maka kain yang dibawa adalah dari neraka bersama bauan yang amat busuk.
Lalu malaikat maut akan duduk disisi kepala orang yang hampir mati lalu ia berkata: Ya ayyatuhan nafsu toyyibah ukhruji! (Wahai jiwa (roh) yang baik, keluarlah). Lalu keluarlah roh itu mengalir seperti mengalirnya air dari mulut cerek. Lalu roh tersebut masuk ke dalam kain lalu bercampur dengan wangian dan naik dari lapisan langit kelapisan langit diiring oleh para malaikat sehingga sampai di Illiyin. Sebaliknya jika orang yang hendak mati itu adalah fajir atau kafir maka malaikat maut akan berkata " Ya ayyatuhan Nafsu Khabisah, ukhruji" ( Wahai jiwa (roh ) yang jahat, keluarlah!". Maka roh tadi merasa takut dan menyelinap semula kedalam jasad. Malaikat merentap roh tersebut dan dimasukkan kedalam kain yang bercampur dengan bau yang amat busuk lalu di bawa ke atas tetapi tidak dapat sampai di lapisan langi yang pertama lalu dicampak kebumi dan di catat roh tadi di Sijjin.
Roh dan nafs (jiwa) adalah sama. Hadis diatas dan banyak hadis sahih menggunakan perkataan nafs (jiwa) dengan makna yang sama iaitu roh. Pendapat ini telah dipersetujui oleh para ulamak termasuk Ibnu Zaid.
Ahli-ahli Tasawuf mengatakan bahawa nafsu( jiwa) merupakan asas utama kepada manusia termasuk akal. Nafsu apabila diberikan pelbagai latihan, zikir, tafakur maka ia meningkat menjadi roh. Roh ini boleh meningkat lagi sehingga menjadi sir ( Rahsdia Tuhan).
Ibnu mindah menyatakan: Jiwa dan nafsu ada perbezaan. Jiwa adalah unsure batin seseorang. Hawa nafsu, syahwat dan semua yang merupakan ujian semua itu berpadau dalam jiwa. Oleh itu tidak ada musuh yang lebih berbahaya bagi manusia melainkan jiwanya 9 nafsunya) sendiri.
Ibnu Habib berpendapat bahawa roh dan jiwa adalah dua perkara yang berlainan. Roh adalah unsure yang merayap ke sekujur tubuh manusia sedang jiwa mempunyai dua tangan , dua kaki, dua kaki dan kepala. Jiwalah yang merasai sakit, gembira dan sedih dan jiwalah yang mengembara dan mimpi. Sewaktu jiwa mengembara, yang masih kekal adalah roh.
Ada benarnya pendapat Ibnu habib kerana manusia yang tidur adalah masih tetap hidup, Cuma tidak dapat merasai sakit apabila disakiti tubuh badannya ketika tidur. Apabila jiwa kembali dan sedar dari tidur maka manusia akan merasai semula.
KEDUDUKAN ROH SELEPAS KEMATIAN
Para Ulamak berbeza pendapat tentang hal ini. Di antara mereka berpendapat bahawa kedudukan roh sesudah mati berdasarkan kedudukannya yang berbeza-beza disisi Allah mengikut martabat keimanan dan ketakwaan sewaktu hidup di dunia. Dalam hadis yang panjang disebutkan bahawa selepas manusia disoal oleh munkar dan nakir di dalam alam kubur ( alam barzah)maka malaikat mengarahkan orang yang berjaya dengan persoalan tersebut supaya "Nam? kanaumul ‘arusain" ( Tidurlah sebagaimana tidurnya pengantin) . Dandia tidak akan dikejutkan sehingga dibangkitkan pada Hari Kiamat selepan tiupan Sankakala.
Nabi s.a.w ketika Isra' dan Mi'raj, telah bertemu dengan roh para anbia' di lapisan-lapisan langit. Begitu juga roh suhada (orang yang mati syahid) berda dalam burung-burung hijau. Nabi bersabda:
" Sesungguhnya arwah para syuhada berada di dalam kandungan burung-burung hijau, mereka makan dari buah-buahan syurga".
Hadis riwayat al-Bazzar dengan sanad sahih dari Abu Hurairah dari nabi s.a.w:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah orang yang didatangi maut dan menyaksikan apa yang disaksikan, sedang dia ingin kalau jiwanya ( rohnya) keluar (dengan cepat), sedang Allah s.w.t suka bertemu dengan dia, dan bahawa seorang yang beriman akan naik rohnya ke langit, maka dia akan di datangi oleh roh orang-orang yang beriman dan akan bertanya kepadanya tentang kenalan-kenalannya yang masih di dunia"
Wallahua'lam.
Sumber JAIS.
*salam*
Comments
Post a Comment